Analisis Impak Kewangan Jika India Berhenti Membeli Sawit Kita

Keputusan India’s Solvent Extractors’ Association (ISEA) untuk memberhentikan import sawit dari Malaysia akan memberikan kesan yang mendalam terhadap ekonomi Malaysia, terutamanya peladang kecil yang merangkumi warga peneroka Felda.

Harga sawit sudah pun berada dalam keadaan yang rendah beberapa tahun kebelakangan ini, dan Malaysia tidak mampu untuk kehilangan mana-mana pembeli sawit kita.

Seteruk manakah penghentian pembelian sawit Malaysia oleh India ini akan memberi kesan kepada negara?

Menurut data daripada Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), India merupakan pengimport terbesar sawit Malaysia, dengan 3.91 juta tan untuk tempoh Januari hingga September 2019, diikuti dengan China (1.62 juta tan), Pakistan (826 ribu tan), Belanda (640 ribu tan) dan Turki (521 ribu tan).

Secara purata, India mengimport 434 juta tan sawit sebulan daripada Malaysia pada tahun ini.

Jumlah sembilan bulan ini sahaja adalah lebih tinggi daripada import India pada keseluruhan 2018, iaitu sebanyak 2.51 juta tan.

Ini bermaksud pada 2019 sahaja, India sudah membeli sawit kita sebanyak 3.91 juta tan dengan harga RM7.83 bilion, atau purata RM2,002 untuk satu tan.

Ini juga bermaksud India membeli sawit kita sebanyak RM870 juta sebulan pada tahun ini. Ini lebih banyak daripada peruntukan untuk warga Felda yang dibentangkan dalam Belanjawan 2020, iaitu sebanyak RM810 juta.

Dan sekarang, beberapa pembeli sudah pun memuktamadkan bahawa mereka akan memberhentikan import sawit dari Malaysia untuk bulan November dan Disember ini.

Dua bulan ini sahaja akan membuat Malaysia hilang pendapatan sebanyak RM1.74 bilion.

Jadi apakah yang akan terjadi pada pekerja industri sawit Malaysia, terutamanya para peneroka Felda yang sekarang ni pun sudah berada dalam situasi pendapatan yang sangat rendah?

Sudah tentunya lambakan sebanyak 868 ribu tan sawit yang akan dihasilkan pada bulan November dan Disember itu akan merunsingkan kepala pengusaha sawit Malaysia. Ke mana mereka nak jual lambakan sawit tersebut?

Negara pengimport sawit kita yang lain pun ada yang mengurangkan import mereka, seperti Pakistan dan Belanda, maka kita tidak ada prospek dalam mengembangkan eksport sawit kita ke negara-negara tersebut.

Dalam menggantikan lambakan sawit ini, sudah tentunya sawit kita akan menghadapi persaingan yang amat sengit daripada Indonesia, yang menawarkan sawit mereka dengan harga yang lebih murah.

Walaupun terdapat individu di India yang menasihatkan agar kerajaan India tidak memboikot minyak sawit Malaysia, isu ini masih tidak nampak penghujungnya.

Kerajaan Malaysia seharusnya merujuk kembali pada hubungan perdagangan dan diplomatiknya dengan India agar sumber pendapatan peneroka Felda terjamin.

Leave a comment