Projek Pan Borneo harus kekalkan kelestarian alam

Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo tidak sepatutnya menjejaskan kelestarian kawasan hutan simpan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, aktiviti penebangan pokok di kawasan hutan simpan bagi membuka laluan baharu untuk projek berkenaan sewajarnya tidak berlaku.

“Kita hanya perlu melebarkan jalan raya sedia ada daripada membina laluan baharu yang mungkin akan menjejaskan kawasan hutan simpan.

“Kerajaan memandang serius perkara ini memandangkan aktiviti menebang pokok dan menarah bukit boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan menelan belanja yang besar.

“Justeru, lebih baik kita melebarkan laluan sedia ada kerana ia lebih cepat siap berbanding membina laluan baharu yang akan mengambil masa lebih lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa ‘Heart of Borneo’ (HoB) dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2019, di sini.

Shafie berkata, tindakan melebarkan jalan raya sedia ada pastinya akan menjejaskan rumah-rumah yang berada di tepi jalan.

Bagaimanapun, jelasnya, membayar pampasan kepada rumah yang terlibat lebih baik berbanding membelanjakan lebih banyak wang bagi pengambilalihan tanah untuk membina laluan baharu.

“Kerajaan akan berusaha mencari jalan untuk bekerjasama dengan komuniti dalam menangani isu ini dengan cara yang baik.

“Kita sedar rakyat memerlukan pembangunan infrastruktur sebagai akses yang memudahkan mereka untuk ke pasar dan sekolah yang berhampiran.

“Namun, usaha ini bukanlah bermaksud kita perlu menebang pokok dan menjejaskan hutan simpan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha pelaksanaan HoB yang mampu menggabungkan penglibatan badan-badan antarabangsa serta negara lain dari seluruh dunia.

Menurutnya, ia sekali gus memperlihatkan dunia, negara ini mempunyai dasar dan hala tuju baharu yang memerlukan koordinasi rapi hasil gabungan kerjasama semua pihak yang terlibat.

“Usaha yang kita laksanakan ini bukan hanya disebabkan oleh tuntutan masyarakat antarabangsa atau tekanan dari luar negara.

“Tetapi pelaksanaan dasar baharu ini perlu dibuat memandangkan keadaan dunia semakin berubah dan ia perlu diperbetulkan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong dan Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini. 

Utusan Borneo (Gambar: EdgeProperty)

Leave a comment