TAWAU: Polis mengesahkan kes kematian penumpang sebuah syarikat pesawat komersil yang meninggal dunia di Lapangan Terbang Tawau sebagai mati mengejut.
Utusan Borneo difahamkan, mangsa Kasim Kastubi, 59, hendak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya di Hulu Langat Selangor.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata, kejadian terbabit dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.55 petang Rabu selepas mangsa mengalami sesak nafas.
“Mangsa, serta 11 ahli keluarganya menaiki pesawat dari Tawau untuk ke Kuala Lumpur, sebelum anak saudaranya menyedari lelaki itu dalam keadaan sesak nafas.
“Anak saudara mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian terbabit kepada kru kapal yang bertugas sebelum bantuan pernafasan serta oksigen diberikan,” katanya.
Beliau berkata mangsa dibawa ke terminal untuk bantuan pernafasan sekali lagi, namun Pembantu Pegawai Perubatan Klinik Balung mengesahkannya sudah meninggal dunia.
Menurutnya, berikutan itu mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk menjalani bedah siasat dan mengenal pasti punca sebenar kematian lelaki terbabit.
“Mangsa dikatakan menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan tekanan darah tinggi, malah kaki kanannya pernah dibedah akibat kencing manis,” katanya.
Utusan Borneo
