Pagi ini (May31), Pengurus Besar FELDA Datuk Dr Othman Omar ditemu ramah dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia TV1 mengenai Kertas Putih FELDA.
Dalam segmen Selamat Pagi Malaysia bertajuk “Kertas Putih FELDA Inisiatif Bantu Peneroka” Dr Othman menggelarkan Kertas Putih sebagai satu pelan jangka panjang bagi FELDA serta peneroka.
Tetapi apa yang beliau kata dalam temuramah 15minit itu langsung tidak berinsipirasi dan tidak menenangkan hati peneroka dan pelabur yang masih meragui kebolehan pemimpin FELDA lemah untuk menyelamatkan bot mereka yang sedang tenggelam akibat dibelengui pelbagai masalah akibat kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan salah urus FELDA selama 10 tahun.
Dr Othman ada menyebut pasal pembayaran hutang faedah Skim Pinjaman Sara Hidup tertunggak peneroka FELDA berjumlah RM2.1bil. Apa gunanya bayar faedah untuk sementara waktu sahaja apabila hutang dan kadar faedah tak dilupuskan.
Kerajaan bagi RM2.1bil untuk melangsaikan hutang faedah, tetapi wang itu tak masuk tangan peneroka pun kerana ia serta-merta diambil untuk langsaikan hutang faedah. Peneroka tak rasa pun.
Manakala, Bantuan Sara Hidup berjumlah RM480 juta nampak gempak atas kertas tetapi ini tidak dihuraikan sama sekali oleh Dr Othman.
Pengikut pengiraan saya, sekiranya RM480 juta diagihkan kepada 112,635 peneroka, setiap peneroka akan dapat jumlah RM4,261.
Tetapi, sekiranya jumlah ini diagihkan setiap bulan selama dua tahun berturut-turut, setiap peneroka hanya akan menerima RM177 sebulan sahaja. Realistik ke jumlah ini dengan kadar inflasi tinggi sekarang dan kos kehidupan yang tidak terhenti-henti menaik.
Patutlah, Dr Othman tak sebut elaun peneroka akan terima, kerana ia sangat rendah. Gaji sebulan kamu seorang boleh membayar elaun bulanan untuk lebih daripada 200 peneroka.
Kami bertungkus-lumus bawah matahari, hujan, meredah nyamuk, ular dan pelbagai bahaya dan risiko lain, hanya supaya dapat pendapatan sebulan kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.
Sumber: https://youtu.be/q79b6fqWO_A
