Punca rezeki buat 1,200 pekerja Sabah Forest Industries (SFI) di Sipitang kini bergantung pada Grant Thorton Consulting (GTC), selepas satu transaksi yang berpotensi untuk menjualkan aset-aset SFI kepada sebuah syarikat tempatan dihentikan secara mengejut.
Namun, kita perlu bertanya jika GTC adalah pihak yang sepatutnya terlibat dalam jual beli SFI kerana firma perundingan itu telah melanggar protocol yang melibatkan jual beli aset-aset SFI. Bukan itu sahaja, baru-baru ini Majlis Laporan Kewangan (FRC) telah meletakkan audit daripada Grant Thorton (GT) di bawah pengawasan. Kenapa? Kerana pemeriksaan tahunan telah menunjukkan kejatuhan standard GTC yang sangat ketara.
Standard itu sangatlah teruk sehingga mereka mengumumkan satu rombakan terhadap perniagaan audit mereka kerana situasinya sudah terlalu buruk. Bahagian-bahagian yang GT kerap gagal adalah prosedur kumpulan kerja, ketelitian dalam penilaian mereka dan keberkesanan audit mereka. Hanya 50% daripada audit-audit GT dianggap bagus, dan dalam penilaian 11 firma audit, GT adalah yang paling teruk. Ia nampak seperti mengarut untuk mengharapkan mereka mengendali kewangan dalam apa cara sekali pun.
Pengurusan kewangan adalah kemahiran asas yang perlu dipenuhi untuk sebuah operasi perniagaan audit, namun kita tertanya-tanya sejauh mana GT telah menyorokkan kelemahan mereka daripada klien dan FRC? Mutu audit GT adalah sangat teruk sehingga mereka kehilangan £94 juta dalam ketidaktentuan perakaunan untuk salah satu daripada klien mereka – klien sama yang ingin menyaman mereka di atas kegagalan besar tersebut.
Jika mereka sanggup mengendahkan kelemahan dan kekurangan dalam salah satu aspek perniagaan mereka, adakah kita boleh mempercayai mereka untuk menjadi efektif dalam bidang-bidang lain yang berkaitan?
Jika GT boleh memecah amanah klien-klien mereka yang menelan kerugian sebanyak jutaan ringgit di luar negara, adakah GTC di Malaysia akan memenuhi tanggungjawabnya terhadap SFI, di mana jumlah keseluruhan dalam urusniaganya melebihi RM1 bilion?
Sebenarnya, kita tak perlu menanyakan soalan itu – terdapat tanda-tanda bahawa GTC mungkin telah bertindak secara salah apabila ia melibatkan jual beli aset SFI dan mengiklankan aset SFI buat kali kedua di dalam Financial Times, selepas tender pertama telah berjaya dan pembelinya hampir melengkapkan Perjanjian Jualan & Pembelian (SPA).
Adakah tindakan GTC setakat ini diambil untuk kebaikan para pekerja SFI? Adakah mereka boleh dipercayai? Kita harus bertanya lagi-lagi apabila mereka telah memulakan SPA untuk SFI, hanya untuk mereka membatalkan SPA tersebut pada tahun selepasnya dan meletakkan SFI untuk penjualan sekali lagi, dengan kali ini cuba menarik minat pihak lain iaitu sebuah syarikat China. Tak kisahlah jika mereka ‘ditekan’ oleh pihak yang berkepentingan dalam kerajaan Sabah, GTC memikul tanggungjawab dan mandat untuk bertindak demi kebaikan SFI.
Mereka gagal menjalankan tanggungjawab mereka, dan disebabkan penangguhan mereka dalam melaksanakan jualbeli SFI, pembayaran gaji para pekerja SFI turut ditangguhkan. Hanya apabila pekerja mengancam untuk membuat mogok, GTC membayar gaji tertunggak kepada 1,200 orang pekerja. Sudah tentunya jumlah gaji tersebut bernilai jutaan ringgit. Dari mana mereka nak dapatkan duit untuk bulan seterusnya?
Tindakan-tindakan GTC sangatlah tidak memuaskan dan sudah tiba masanya untuk firma perakaunan ini disiasat oleh Institut Akauntan Malaysia dan FRC demi membawa mereka ke muka pengadilan – jika tidak, ramai lagi klien yang akan merana daripada perkhidmatannya.
