Nampaknya kemelut yang melanda FGV Holdings Bhd masih jauh daripada pengakhirannya, walaupun kita sudah melangkah ke tahun 2020 yang baru. Masih belum selesai isu pemilikan saham utamanya jika ia akan dijual kepada Syed Mokhtar al-Bukhari (SM) atau tidak.
Apabila berita tentang SM ingin membeli saham utama FGV, terdapat pelbagai reaksi daripada ramai pihak, ramai yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentang. Kepelbagaian pandangan ini memang dialu-alukan, agar mereka boleh berbincang untuk mencapai kata sepakat yang memanfaatkan semua orang.
Akan tetapi agak tidak realistik jika kita ingin menolak tawaran daripada SM dan meningkatkan saham FGV yang dimiliki Felda kepada 51% dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) kepada 49%. Untuk rujukan, pada masa ini Felda memegang saham FGV sebanyak 21.24% dan KPF pula memegang 5.24%.
Dari manakah Felda dan KPF ingin mendapatkan duit untuk meningkatkan pegangan saham FGV mereka? Umum diketahui bahawa Felda bukanlah berada dalam situasi kewangan yang mudah sekarang. Untungnya sangat rendah manakala hutangnya pula tinggi menggunung. Kini nak cakap tentang beli lebih banyak saham FGV pula?
Ini belum cerita keperluan Felda sebanyak RM800 juta hanya untuk menampung pentadbirannya. Untuk Felda mendapatkan dividen RM800 juta, FGV perlu mendapat untung setinggi RM2.4 bilion. Dalam situasi sekarang, adakah FGV boleh melaksanakannya? Ladang-ladang Felda yang dipajak oleh FGV dalam LLA masih belum tentu jika ia mencapai hasil 20 metrik tan setahun dan keuntungan walaupun RM1 bilion.
Sementara itu, KPF juga tidak boleh dikatakan mempunyai banyak wang untuk membeli lebih banyak saham FGV. Pelaburan mereka dalam bidang hartanah dan perladangan tidak membawa keuntungan yang diharapkan.
Malah, pemegang saham FGV yang lain pula seperti KWAP dan Tabung Haji masih belum memberi kata putus untuk membenarkan Felda dan KPF meluaskan pegangan sahamnya.
Adakah ini bermakna kita boleh terus membenarkan SM untuk membeli saham utama FGV? Tidak, kerana kita juga perlu melihat apakah tawaran yang boleh dibuat oleh pihak beliau. Pelbagai pihak berkepentingan perlu bincang semeja untuk mencapai keputusan yang bermanfaat untuk semua. Tetapi jika kita menolak terus tawaran SM, itu juga semestinya adalah tindakan yang salah.
Semua pihak harus bersifat terbuka. Manalah tahu jika SM boleh membantu Felda dan FGV kembali ke zaman kegemilangannya dalam dekad-dekad yang lalu?



