Adakah Bakke Pilihan Yang Tepat?

Baru-baru ini Tan Sri Mohd Bakke telah dilantik sebagai pengerusi baru Felda, menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin yang telah meletak jawatan pada minggu sebelumnya.

Rata-rata media Malaysia mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Bakke, seperti Bernama yang menyifatkan pelantikan beliau seperti ‘sirih pulang ke gagang’ dan The Edge menganggap beliau sebagai ‘best man for the job (lelaki terbaik untuk jawatan ini)’.

Walaupun nampak seolah-olah beliau adalah pilihan terbaik untuk mengurus Felda yang mengalami pelbagai kemelut masalah sekarang, adakah rekod korporatnya bersih daripada sebarang keputusan yang mencurigakan?

Tan Sri Bakke bukanlah orang yang asing buat Felda – beliau pernah bekerja sebagai Pengarah Pengurusan Kumpulan (GMD) Felda pada 2005 dan CEO FGV pada 2009, sebelum syarikat tersebut disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012. Beliau telah meninggalkan jawatan tersebut pada 2010 apabila berpindah ke Sime Darby.

Felda juga melakukan pelaburan yang mencurigakan semasa di bawah pentadbiran Tan Sri Bakke. Contohnya, pembelian syarikat oleokimia Twin Rivers di Amerika Syarikat serta lain-lain pelaburan di Amerika Utara di bawah nama Felda Global Ventures North America (FGVNA) yang telah menelan kos sebanyak RM1.22 bilion dan tidak mendatangkan sebarang keuntungan.

Siapakah pula yang mencadangkan pembelian Menara Felda pada harga RM600 juta dari kumpulan Naza, ketika Felda sudah menyiapkan tender untuk membina bangunan sendiri di Jalan Gurney?

Beliau juga telah memberi ruang kepada sebuah syarikat dari India, Allana, dalam urusniaga minyak Felda secara besar-besaran, yang telah merisaukan ramai peneroka Felda.

Ternyata imej Tan Sri Bakke yang sebelum ini rapat dengan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia tertanya-tanya akan kredibiliti beliau untuk kembali mengerusi Felda.

Malahan, perlu diingat bahawa beliau juga banyak memegang jawatan yang dilantik secara langsung oleh Dato’ Seri Najib Razak.

Sebagai contoh, beliau merupakan ahli Lembaga Pengarah 1MDB sebelum ini dan walaupun beliau meletakkan jawatan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan pengurusan 1MDB, beliau tidak mengambil sebarang tindakan yang serius untuk memperbetulkan masalah dalam syarikat tersebut.

Jutaan ringgit wang rakyat telah diseludup ke dalam akaun 1MDB, akan tetapi Tan Sri Bakke cuma memilih untuk berdiam diri dan letak jawatan. Mengapa beliau tidak menyuarakan dan menyoal transaksi yang mencurigakan itu dengan lantang, apabila terang-terang perkara itu adalah salah?

Bekas pengerusi Felda yang juga merupakan seorang lagi rakan rapat Najib, Tan Sri Mohd Isa Samad, telah menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian yang sangat dahsyat terutamanya selepas penyenaraian FGV pada 2012.

Maka keresahan rakyat Malaysia terhadap Tan Sri Bakke adalah berasas, kerana kita bimbang jika Tan Sri Bakke akan membuat keputusan yang boleh merugikan Felda lagi.

Malahan, Tan Sri Bakke sudah pun memegang jawatan pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sejak tahun lalu. Pengerusi Felda yang baru seharusnya memberikan sepenuh masa kepada Felda, bukannya perlu membahagikan komitmen kepada syarikat yang lain.

Adakah kita ketandusan ahli korporat lain untuk mengemudi Felda sekarang? Jawatan-jawatan besar ini asyik diberi kepada golongan yang sama sahaja.

Bukankah sudah tiba masanya untuk ahli korporat yang sudah berusia ini untuk berundur dan beri peluang kepada golongan yang lebih muda, terutamanya dari sektor swasta?

Terdapat ramai ahli korporat Bumiputera yang berintegriti di dalam sektor swasta, sudah tentunya mereka sangat mampu untuk memegang jawatan pengerusi Felda.

Leave a comment