Dah Banyak Kerugian Dalam FGV Pun Masih Nak Gaji Tinggi! Apa Cerita?

Sejak penyenaraian FGV Holdings Berhad pada 2012, prestasi syarikat tersebut menjadi semakin teruk setiap tahun, sehingga mencatatkan kerugian sebanyak berbilion ringgit.

Dan siapa yang paling terjejas disebabkan kerugian yang dahsyat ini? Bukannya Lembaga pengarah yang sentiasa membawa pulang gaji beratus ribu, tetapi para peneroka yang berpeluh keringat mengerjakan ladang di kampung!

Semuanya bermula apabila pengerusi Felda pada 2011, Tan Sri Isa Samad, dengan sombongnya mendesak penyenaraian FGV ke dalam Bursa Malaysia walaupun ia jelas ditentang oleh para peneroka Felda.

Ketua Pengarah Felda pada masa itu, Datuk Dzulkifli Wahab, telah membangkang tindakan tersebut tetapi Isa yang tamak itu terus menyingkir Dzulkifli atas pendiriannya. 

Para peneroka Felda mula merasa resah akan jaminan kebajikan mereka kerana Isa Samad memang terkenal dengan politik wang di dalam UMNO dan beliau mungkin akan menyeleweng duit FGV untuk kepentingan diri sendiri.

Akibatnya, setiap peneroka Felda dipaksa membeli 800 unit saham dalam FGV semasa  penyenarian berharga RM4.55 seunit, atau RM3,640 untuk seorang peneroka. Dianggarkan lebih 90 peratus peneroka terpaksa membuat pinjaman untuk membeli saham paksaan ini.

Ada yang kena pinjam duit daripada Felda sendiri, di mana peneroka perlu membayar RM50 sebulan untuk 6 tahun berikutnya. Dengan harga pasaran kelapa sawit yang tidak menentu sekarang, ternyata RM50 itu satu beban yang besar buat peneroka.

Harga saham FGV terus merudum selepas 2012. Setakat 1 Julai 2019, harga saham FGV cuma RM1.14 seunit. 800 unit saham yang dulu berjumlah RM3,640 sekarang cuma bernilai RM912. RM2,728 hilang begitu sahaja sepanjang 7 tahun.

Kalau untuk pengarah FGV yang kaya-raya, apalah sangat dua ribu ringgit pada mereka. Tapi jumlah tersebut adalah sangat besar untuk peneroka di kampung, di mana majoriti masih mengharap pada bantuan untuk hidup.

Apa yang dah jadi selepas penyenaraian, selepas FGV memperolehi hampir RM6 bilion? Malangnya, wang tersebut telah dilaburkan ke dalam perniagaan-perniagaan yang mencurigakan.

Antara pelaburan yang penuh tanda tanya ialah pembelian Pontian United Plantations sebanyak RM1.2 bilion, harga yang jauh melebihi harga pasaran.

Selain itu, FGV juga membeli Asian Plantations Ltd (APL) sebanyak RM628 juta. Analisis pada tahun 2014 mendapati FGV telah membeli APL dengan bayaran sebanyak 290% lebih tinggi daripada harga pasaran. Manakala daripada 24,000 hektar tanah APL yang dibeli, 40 peratus atau 9,900 hektar tidak boleh diusahakan.

FGV juga membeli empat syarikat perladangan dan sebidang tanah kelapa sawit di Sabah daripada Golden Land Berhad berjumlah RM655 juta, yang juga telah mengakibatkan impak negatif terhadap aliran tunai syarikat.

FGV juga terlibat dalam memanipulasi harga stok dalam sebuah usaha-sama di Turki yang menyebabkan syarikat bawahannya, Felda IFFCO, rugi sebanyak RM57 juta.

Nasib yang sama juga menimpa sebuah lagi syarikat bawahan FGV, Delima Oil, yang kehilangan RM50 juta, serta FGV Cambridge Nanosystem yang kerugian RM117 juta dan merupakan satu lagi pelaburan yang gagal.

Tahun Pelaburan FGV Jumlah Kerugian(RM)
2013 Pontian United Plantations 1.2 bilion
2013 Felda Cambridge Nanosystem 117 juta
2014 Asian Plantations Ltd (APL) 628 juta
2015 Golden Land Berhad 655 juta
2016 Felda IFFCO Gida Sanayi, Turki 57 juta
2018 Delima Oil 50 juta
  Jumlah 2.7 bilion

Kesimpulannya, dari RM6.0 bilion, FGV telah membuat pelaburan yang mencurigakan sekurang-kurangnya RM2.7 bilion. Ini sangat membimbangkan kerana para pengarah yang mempunyai pengalaman yang begitu luas telah membuat keputusan pelaburan yang salah. Lagi pun, apa terjadi pada baki pelaburan sejumlah RM3.3 billion?

Walaupun Tan Sri Isa Samad bukan lagi pengerusi FGV, namun Lembaga pengarah yang menggantinya masih gagal mengembalikan FGV ke paras yang lebih cemerlang. Malahan, FGV pada 2018 juga mencatatkan kerugian sebanyak RM1.08 bilion!

Dengan prestasi yang buruk dari segi pelaburan dan kerugian perbelanjaan, lembaga pengarah tak malukah untuk meminta gaji sebanyak RM5.74 juta semasa Perhimpunan Agung FGV baru-baru ini?

Kononnya pengarah sudah berusaha sedaya mungkin untuk menguntungkan syarikat tersebut.

Namun, apabila syarikat itu sedang mengalami kerugian yang begitu teruk, adalah tidak patut untuk pengarah menuntut gaji yang terlalu lumayan. Sepatutnya semua ahli Lembaga pengarah mestilah dipecat serta-merta kerana tidak mencapai key performance indicator (KPI) masing-masing!

Nasib baik pemegang saham utama FGV iaitu Felda, KWSP dan LTAT menolak resolusi untuk membayar gaji pengarah yang mengarut jumlahnya itu.

Sampai bilalah peneroka di kampung perlu bertahan dengan orang-orang atasan yang tidak kompeten?

Leave a comment