KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) masih belum menerima sebarang laporan berhubung pembabitan anak syarikatnya dalam pembakaran terbuka di Indonesia yang menyebabkan kejadian jerebu di negara ini.
Ketua Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata situasi yang berlaku di Indonesia agak rumit memandangkan terdapat pekebun kecil Perkebunan Inti Rakyat (Inti) dan Perusahaan (Plasma) di sekitar ladang milik syarikat perladangan besar.
“Sehinggalah mempunyai data, kami tidak boleh berkata sama ada perkara ini berlaku atau tidak. Bagaimanapun, pada masa ini tiada sebarang laporan diterima.
“Ini meliputi semua ladang yang dimiliki di Indonesia dan di negara ini, FGV tidak mengamalkan pembakaran terbuka,” katanya ketika ditanya mengenai isu berkenaan pada sidang media di sini, hari ini.
Di Indonesia, FGV mengendalikan syarikat usaha sama ladang minyak sawit dengan Lembaga Tabung Haji di Kalimantan Tengah, Kalimantan Utara, Kalimantan Barat dan Pontianak.
Terdahulu, Haris Fadzillah hadir pada majlis pemeteraian perjanjian pengedaran antara anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd (Delima Oil) dengan DKSH (Malaysia) Sdn Bhd (DKSH) bagi meluaskan pengedaran produk hiliran FGV ke dalam sektor Hotel, Restoran dan Kafe (HoReCa).
Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Operasi Sektor Perladangan FGV, Syed Mahdhar Syed Hussain dan Naib Presiden FMCG Asia Tenggara DKSH, Patrick Stillhart.
Perjanjian berkenaan merangkumi aspek pengedaran produk Delima Oil seperti SAJI, SERI PELANGI dan ADELA meliputi industri perkhidmatan makanan di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kejadian jerebu, Syed Mahdhar berkata ia boleh menjejaskan kadar pengekstrakan minyak FGV untuk bulan Oktober.
Jelasnya, harga minyak sawit mentah semasa adalah sekitar RM2,100 bagi setiap tan.
“Jika saya memberi contoh bahawa lima tan tanaman sawit perlu diekstrak untuk mendapatkan satu tan minyak sawit, jadi ia adalah kira-kira 20 peratus.
“Jika merujuk kepada peratusan, impak yang boleh berlaku adalah nisbah peratusan buah tandan segar yang boleh diekstrak, ia mungkin memberi kesan sekitar 0.2 hingga 0.5 peratus dan itu adalah jumlah peratusan yang tinggi,” katanya.
“Bagaimanapun, kejadian jerebu itu tidak akan menjejaskan keuntungan FGV,” katanya.
