Felda Perlu Terbuka Dengan Sektor Swasta, Tapi Tanpa Melibatkan Bakke

Baru-baru ini, seorang peneroka Felda generasi kedua meluahkan kerisauannya di Facebook, berkenaan satu pelawaan untuk mengemukakan cadangan (Request for Proposal, RFP) oleh Felda dalam sebuah projek perintis kebun lestari.

Dalam dokumen yang bertarikh 6 September 2019 itu, Felda membuka tawaran bagi mana-mana syarikat swasta yang ingin membuat RFP untuk memajukan projek perintis pengurusan kebun lestari peneroka di Felda Bukit Rakan, seluas 554 hektar.

Projek tersebut adalah untuk aktiviti pertanian bercampur yang merangkumi tanaman utama Felda iaitu getah atau sawit, tanaman alternatif, tanaman selingan, ternakan, akuakultur, tanaman jangka pendek (cash crop) secara selingan, pertanian bernilai tinggi (smart farming & precision agriculture) dan lain-lain.

Peneroka tersebut bimbang kerana ini menunjukkan seperti Felda gagal melaksanakan Projek Rintisnya sehingga terpaksa membuka cadangan daripada pihak swasta, dan ini merupakan permulaan kepada kebun-kebun peneroka untuk diurus seperti estet.

Beliau seharusnya tidak perlu khuatir kerana dalam keadaan Felda yang tenat sekarang, Felda sebagai agensi perladangan yang penting dalam negara perlu bersifat terbuka terhadap cadangan daripada mana-mana pihak, termasuk sektor swasta.

Saat Felda berada dalam situasi kewangan yang tenat sekarang, apa salahnya sektor swasta memberi cadangan kepada agensi itu. Syarikat-syarikat perladangan sawit swasta mampu mencatatkan keuntungan walaupun dengan harga minyak sawit (CPO) yang rendah.

Namun, kebajikan peneroka haruslah menjadi keutamaan Felda setiap masa. Sebarang syarikat swasta yang ingin terlibat dalam projek ini haruslah bermatlamat untuk membantupara peneroka pada masa akan datang. Hak peneroka mesti diutamakan.

Seperti yang tertera dalam Misi Felda: “Menambah nilai untuk kepentingan peneroka.”

Felda tidak seharusnya mengelak daripada sebarang kolaborasi bersama sektor swasta dalam usaha untuk kembali kepada keuntungan. Tetapi kolaborasi tersebut mesti melibatkan syarikat perladangan swasta yang mempunyai rekod prestasi cemerlang.     

Ini adalah kerana dalam keadaan sekarang ini pun, Felda tidak dapat membantu peneroka dengan berkesan kerana kekurangan wang.

Digabungkan lagi dengan pelantikan Dato’ Bakke Salleh yang merupakan bekas pengarah urusan kumpulan Felda dan CEO FGV (sebelum beliau letak jawatan pada 2010), sebagai pengerusi Felda baru-baru ini yang langsung tidak menjaminkan kejayaan buat Felda pada masa hadapan.

Walaupun Dato’ Bakke Salleh datang daripada syarikat perladangan swasta yang besar sebelum ini (Sime Darby), perlu diingat bahawa prestasi beliau dalam syarikat itu telah menyebabkan penurunan keuntungan sepanjang beliau memegang jawatan Presiden dan Eksekutif Ketua Kumpulan.

BACA: Sektor Perladangan Sime Darby Di Bawah Bakke Merosot… Sekarang Dia Dalam Felda Pulak?

Semasa beliau berada dalam FGV dalam masa yang singkat pun (dari 2009 hingga 2010), sudah tentu beliau memainkan peranan dalam merancang penyenaraian syarikat itu pada 2012, dua tahun selepas beliau meninggalkan FGV.

Memang Felda memerlukan bantuan daripada pihak swasta, tetapi Bakke sudah mempunyai rekod yang corot dalam Felda dan pengurusan perladangan swasta sebelum ini, maka beliau bukanlah individu yang sesuai untuk Felda.

Felda kini tidak berada dalam posisi yang boleh menolak sebarang cadangan atau bantuan daripada pihak swasta. Yang Felda perlukan sekarang adalah kerjasama yang terbuka dengan syarikat swasta yang berintegriti dan mempunyai pengalaman yang mendalam.

Leave a comment