Baru-baru ini, The Edge melaporkan dalam satu berita khas bahawa ahli perniagaan bumiputera ternama, Syed Mokhtar AlBukhary, merancang untuk membeli saham di dalam FGV Holdings Berhad.
Dalam perancangan itu, beliau akan membeli 20 peratus di dalam FGV, lantas membenarkan beliau untuk mengambil alih syarikat tersebut.
Beliau merancang untuk membeli sebahagian saham tersebut daripada Felda, yang memegang saham dalam FGV sebanyak 33.6 peratus, dan membeli terus saham daripada Koperasi Permodalan Felda Malaysia (KPF) yang memegang 5.25 peratus.
Media menjangkakan bahawa Syed Mokhtar akan menghadapi tentangan daripada Felda dan FGV sendiri daripada melaksanakan pembelian tersebut.
Yang menarik perhatian dalam berita itu juga ialah, seorang pegawai berjawatan tinggi yang tidak dinamakan mengatakan bahawa KPF merancang untuk menaikkan sahamnya di dalam FGV.
Ini boleh dikatakan pelik, kerana keuntungan FGV susut secara konsisten sejak penyenaraiannya pada 2012, sehingga mencatatkan kerugian terburuk sebanyak RM1.08 bilion pada tahun lepas.
Jadi kenapa KPF berminat untuk menaikkan sahamnya lagi jika ia hanya mendatangkan kerugian?
Malah, mereka juga gagal membawa sebarang nilai atau sumbangan untuk memperbaiki prestasi FGV pada tahun-tahun sebelumnya.
KPF sepatutnya menjualkan sahaja sahamnya di dalam FGV kepada syarikat lain yang lebih berkelayakan dalam mengurus FGV.
FGV kini berada dalam prestasi yang tidak meyakinkan, dan mereka juga gagal memenuhi Perjanjian Pajakan Tanah (Land Lease Agreement, LLA) dengan Felda dalam memberikan wang yang telah dijanjikan.
Menurut LLA, FGV harus memberikan RM248 juta kepada Felda setiap tahun berserta 15 peratus keuntungan daripada operasi perladangan.

Sumber – Kertas Putih Felda
Disebabkan gagal memenuhi LLA, Felda pun sengsara. Dan yang lebih sedih lagi, peneroka yang merana di atas kegagalan pengurusan pihak atasan.
Oleh itu KPF tidak ada sebab yang munasabah untuk menjaga atau meningkatkan sahamnya dalam FGV.
Dengan menjual saham FGV yang dipunyai KPF kepada Syed Mokhtar, LLA ini boleh dirujuk kembali dan Felda boleh kembali meraih sumber pendapatan utamanya seperti dahulu.
