Dari Utusan : https://www.utusan.com.my/rencana/forum/contohi-syarikat-ladang-sawit-swasta-1.972773
UMUM mengetahui Felda sekarang sedang berada dalam situasi sangat teruk kerana kerugian yang dialami oleh agensi itu pada tahun-tahun lepas.
Kerugian ini disebabkan oleh kelemahan pengurusan kewangan Felda apabila wang agensi berkenaan digunakan untuk membuat pelaburan tidak menguntungkan.
Semua ini terjadi selepas penyenaraian FGV Holdings Berhad (FGV) pada 2012. Selepas mendapatkan RM6 bilion daripada penyenaraian itu, Felda membelanjakan 24 peratus daripada duit itu dalam pelaburan tidak menguntungkan manakala baki 76 peratus digunakan untuk perbelanjaan tidak produktif.
Walaupun harga kelapa sawit mentah (CPO) mula menurun dengan mendadak sejak 2011, ini tidak boleh dijadikan alasan terhadap kerugian Felda kerana syarikat perladangan kelapa sawit swasta di Malaysia langsung tidak mencatatkan kerugian sejak tahun itu.
Ini berdasarkan perbandingan rekod keuntungan sebelum cukai dalam sektor perladangan kelapa sawit syarikat-syarikat swasta berkenaan.
Jika kita perhatikan rekod syarikat-syarikat swasta, mereka mencatatkan keuntungan konsisten walaupun dengan kejatuhan CPO sejak 2011.
Namun Felda mencatatkan perubahan mendadak sekali jika dibandingkan dengan syarikat-syarikat swasta ini. Daripada keuntungan paling tinggi pada 2012, terus jatuh ke kancah kerugian pada 2013 dan gagal kembali mencatat keuntungan sehinggalah mengalami kerugian tercorot pada 2017.
Jelas sekali perbezaan antara Felda dan syarikat-syarikat swasta. Di manakah silapnya? Tentu ia melibatkan pihak-pihak yang diamanahkan kerajaan untuk mengurus agensi berkenaan.
Melihatkan pada rekod ini, Felda sudah tentu boleh mencontohi syarikat-syarikat swasta supaya ia kembali mencatatkan keuntungan.
Walaupun terdapat perbezaan ketara antara Felda dan syarikat-syarikat swasta di mana Felda bertujuan menaik taraf sosioekonomi peneroka di luar bandar, manakala syarikat swasta hanya berasaskan keuntungan, Felda mungkin boleh melihat bagaimana syarikat-syarikat swasta ini mengekalkan keuntungan walaupun sewaktu harga CPO rendah.
Bagaimana mahu menolong peneroka jika Felda sendiri mengalami kerugian besar tahun demi tahun? Pada pendapat penulis, sudah tiba masanya untuk Felda belajar dan menjalankan usahasama dengan syarikat-syarikat swasta.
HANNAH J
