Di sini saya ingin membalas kepada penulisan daripada Pak Abu yang membantah pembelian saham utama FGV daripada seorang ahli perniagaan Bumiputera Melayu yang ternama. Berikut adalah balasan saya, satu demi satu:

Kenyataan ini kurang asasnya dan hanyalah spekulasi semata-mata. Menurut laporan sumber, ahli perniagaan itu hanyalah merancang untuk membeli saham utama daripada Felda dan Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF) sebanyak 20% dan bukan daripada pelabur-pelabur kecil. Tiada juga bukti jika beliau bekerja dengan pegawai-pegawai atasan FGV yang merupakan bekas pekerja beliau bagi mengekalkan harga saham FGV agar berada dalam paras yang rendah.

Beliau bukanlah ‘mengambil kesempatan’ tetapi perkataan yang lebih sesuai adalah ‘menawarkan penyelesaian’. Penulis (Pak Abu) sudah pun menyatakan krisis yang dialami oleh Felda sekarang, di mana RM250 juta itu amat tidak cukup untuk membolehkan Felda beroperasi setiap tahun, di mana Felda memerlukan sekurang-kurang RM800 juta. Itu belum masuk lagi hutang RM8 bilion yang ditanggung Felda.
Oleh yang demikian, tawaran daripada ahli perniagaan tersebut adalah untuk membantu meringankan masalah Felda yang disebabkan oleh Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) denga FGV.
- “Dalam keadaan harga sawit yg rendah,ekonomi negara yang suram sekarang, adalah sukar bagi Felda untuk memperolehi pendapatan dari aset dan ladang mereka. Ditambah pula hutang yg ditanggung oleh Felda yg kini melebihi RM8 billion, hanya kerajaan yg boleh menyelamatkan keadaan.”
Penulis kemudian mengatakan hanya kerajaan yang boleh menyelamatkan keadaan. Berdasarkan prestasi kerajaan selama ini, adakah kenyataan itu masuk akal? Pertama, Kertas Putih yang dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali pada 10 April lalu yang kononnnya memperuntukkan RM6.23 bilion untuk Felda masih tidak nampak pelaksanaannya.
Selain itu, perancangan untuk menggabungkan ladang-ladang Felda kepada estet yang diumumkan pada sambutan Hari Peneroka pada Julai lalu juga masih kabur, para peneroka sendiri tidak faham bagaimana ia akan dilaksanakan.
Dan yang lebih penting, kerajaan telah melantik Dato’ Bakke Salleh, bekas Presiden Sime Darby, untuk menjadi pengerusi Felda. Apakah rasional kerajaan dalam melantik beliau? Tak ada ahli korporat lain yang lebih berwibawa ke? Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan tinggi dalam Felda pada 2005-2009 dan kemudiannya CEO FGV pada 2009-2010, dan sudah tentunya mempunyai peranan dalam merancang penyenaraian FGV pada 2012.
Mengapa Dato’ Bakke dibawa kembali ke dalam Felda untuk menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin dan mengganti Felda? Tiada sebab yang kukuh mengapa Megat, yang baru sahaja memegang jawatan pengerusi Felda selama 11 bulan, perlu digantikan dengan Bakke.
Di samping itu, prestasi sektor perladangan Sime Darby di bawah pimpinan Dato’ Bakke juga tidak begitu merangsangkan, dengan keuntungan yang merosot tahun demi tahun sewaktu beliau memimpin syarikat konglomerat itu.
Perletakan Bakke sebagai pengerusi Felda dan juga ahli lembaga pengarah Petronas pada tahun ini menunjukkan ‘tangan-tangan halus’ untuk menegakkan agenda pihak berkepentingan – mungkin untuk membawa kembali perjanjian dengan taikun Indonesia, Peter Sondakh, melalui Wilmar International Ltd.
Wilmar International merupakan sebuah syarikat agrikultur yang besar, yang diasaskan oleh Martua Sitorus dan William Kuok Khoon Hong, iaitu anak saudara kepada Robert Kuok. Jika keadaan ini dibiarkan, jutaan tan sawit Malaysia akan dijual kepada Wilmar, yang kemudian akan dijual kepada Kerry Group yang dimiliki oleh Robert Kuok. Jika ini berlaku, maknanya golongan korporat ini sudah mengambil kesempatan ke atas peneroka Felda yang bertungkus lumus mengerjakan ladang sawit.
Ini bermaksud kerajaan tidak boleh diharap sepenuhnya untuk menyelamatkan Felda. Walaupun kerajaan sekarang bukanlah kerajaan yang dulu, tidak bermakna mereka mempunyai niat murni untuk menyelamatkan Felda.

Pengerusi FGV tidak disentuh? Keputusan Syed Mokhtar untuk membeli saham utama dalam FGV tentunya sudah merisaukan pengerusi FGV, Dato’ Wira Azhar, kerana jika Syed Mokhtar berjaya membeli saham utama FGV, jawatannya sebagai pengerusi tidak terjamin dan kemungkinan besar akan digantikan.
Malah, jika pengerusi FGV itu digantikan, itu sepatutnya adalah berita baik kerana prestasi syarikat itu sejak beliau menjadi pengerusi tidaklah begitu memuaskan. Sentimen ini juga dizahirkan oleh Felda dan LTAT sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan FGV baru-baru ini, di mana mereka tidak meluluskan pembayaran gaji lembaga pengarah FGV kerana tidak berpuas hati dengan prestasi mereka.
- “TSSM juga menggunakan taraf bumiputranya bagi menghalalkan rancangannya untuk menutup matlamatnya untuk menguasai FGV Holdings.
TSSM juga turut menggunakan bekas menteri kanan kerajaan terdahulu untuk melaksanakan kerja kerja melobi. Juga TSSM menggunakan juga khidmat bekas kakitangan kanan Felda, bekas kakitangan FGV serta kakitangan yg sedang berkhidmat bagi mendapatkan maklumat dalaman dan merangka strategi yg kukuh untuk meyakinkan kerajaan bahawa pengambilalihan ini merupakan jalan terbaik untuk menjaga kepentingan syarikat melayu. Apakah benar alasan ini?”
Sekali lagi, penulis membuat andaian yang tidak berasas dengan menyatakan ahli perniagaan tersebut bekerja dengan bekas kakitangan Felda dan FGV untuk mendapatkan maklumat dalaman dan merangka strategi yang kukuh dalam mengambil alih FGV. Tiada bukti beliau menggunakan orang dalam untuk membeli saham utama FGV.
Syed Mokhtar tidak mengharapkan pada sentimen ‘kepentingan syarikat Melayu’ kerana rekod perniagaan beliau sendiri sudah membuktikan bahawa syarikat-syarikat yang diuruskan oleh beliau mempunyai prestasi yang cemerlang secara konsisten. Beliau memang adalah individu yang sesuai untuk mengambil alih FGV yang kini berada dalam masalah yang besar kerana penyelewengan tadbir urus oleh lembaga pengarah yang tidak kompeten.

Saya memang percaya dengan beberapa cadangan yang terdapat dalam penulisan oleh ‘Pak Abu’ ini. Pengerusi dan Lembaga Pengarah FGV seharusnya ditukar serta merta kerana prestasi FGV yang merosot sejak tahun-tahun lalu.
Ladang yang dipajak di dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) juga harus dipulangkan kepada Felda supaya Felda boleh kembali mengamalkan model perniagaan sebelum 2012 yang telah mendatangkan keuntungan yang selesa kepada Felda.
Akan tetapi, perkara ini tidak harus dilaksanakan oleh kerajaan kerana ia berisiko untuk mengubah hala tuju FGV dan Felda agar mengikut telunjuk kroni-kroni kerajaan. Tan Sri Bakke yang baru dilantik sebagai pengerusi Felda oleh kerajaan juga mungkin telah diletakkan di situ untuk memenuhi agenda kroni-kroni tersebut.
Bukanlah saya ingin memberi kepercayaan membuta-tuli kepada Syed Mokhtar, tetapi dengan hala tuju kemusnahan yang diamalkan oleh FGV dan Felda sekarang, saya percaya beliau boleh menyelamatkan syarikat-syarikat ini daripada digadai oleh pihak yang berkepentingan, dan untuk menjaga kebajikan para peneroka yang menjadi teras Felda.
