Sudah sedia maklum di kalangan warga Felda bahawa Syed Mokhtar, seorang taikun Bumiputera yang terkenal dan memiliki pelbagai syarikat, merancang untuk mengambil alih FGV Holdings Bhd dengan membeli saham utama syarikat tersebut.
Jika perancangan ini berjaya, beliau akan menggantikan Felda sebagai pemegang saham terbesar di dalam FGV.
Berita ini mendapat pelbagai reaksi daripada warga Felda. Ramai yang melihat perkembangan ini secara positif, kerana buat sekian lama FGV sudah pun tidak memainkan peranannya dalam menyumbang kepada Felda.
Selain keuntungannya yang semakin menurun sejak 2013 hinggalah mencecah kerugian sebanyak RM1.08 bilion pada 2018, FGV tidak memenuhi Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) yang telah dibuat bersama Felda, dan langsung tidak memberikan nilai kepada kebajikan peneroka.
Selain itu, barisan kepimpinan FGV juga gagal memberikan prestasi yang cemerlang sepanjang perkhidmatan mereka. Ini terbukti dengan keengganan pemegang saham utama FGV tidak meluluskan pembayaran gaji lembaga pengarah FGV sewaktu mesyuarat tahunan.
Oleh itu, berita Syed Mokhtar untuk mengambil alih FGV ini adalah sangat menggalakkan. Beliau terkenal dengan menaikkan prestasi syarikat yang bermasalah, serta melatih ahli korporat Bumiputera untuk memimpin syarikat-syarikat tersebut.
Beliau juga mempunyai pengalaman dalam perladangan sawit melalui syarikatnya, Tradewinds Plantations, yang merekodkan keuntungan secara konsisten walaupun dengan kejatuhan harga sawit.
Akan tetapi, ada juga yang risau dengan pembabitan Syed Mokhtar dalam hal ehwal FGV dan Felda, seperti yang ditunjukkan oleh ketua peneroka kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff, dan beberapa NGO Felda dalam sebuah sidang media baru-baru ini.
Mereka risau kerana mereka mengaggap FGV adalah warisan yang sepatutnya terus dimiliki oleh Felda.
Itu mungkin ada betulnya, tetapi adakah wajar untuk FGV yang telah membebankan Felda selama ini, terus mengongkong Felda?
Jika mereka risau tentang tanah-tanah Felda di dalam LLA yang mungkin akan digadaikan kepada Syed Mokhtar, ini tidak akan berlaku.
Ini adalah kerana tanah-tanah komersial yang dipajak di bawah LLA adalah tanah milik Felda, yang merupakan sebuah badan kerajaan. Tanan-tanah ini tidak boleh dijual begitu sahaja kepada pihak swasta.

Senario yang paling realistik adalah tanah-tanah komersial Felda yang dipajak di bawah LLA akan dipulangkan semula kepada Felda, dan FGV akan fokus kepada downstream activities yang merupakan tujuan asal penubuhan syarikat tersebut di bawah Felda.
Apabila ladang komersial ini dipulangkan, Felda boleh kembali mengamalkan model perniagaan yang digunakan sebelum penyenaraian FGV pada 2012 dan mendapatkan keuntungan yang tinggi seperti dekad-dekad sebelum ini.
Berikut adalah perbandingan sumber pendapatan Felda, yang telah dipengaruhi dengan teruk disebabkan LLA:

Melihat jadual di atas, bukankah elok jika Syed Mokhtar membantu membetulkan semula fungsi FGV, justeru memulangkan semula tanah-tanah LLA kepada Felda? Ini akan menghasilkan situasi menang-menang buat kedua-dua entiti, dan yang untung pada akhirnya juga adalah peneroka Felda.
